Ahad, 23 Oktober 2011

Butler Kembali Semula TRW - Dari Blog Kelate.Net.

Dari Blog Kelate.net (Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan)

KOTA BHARU – ‘Segalanya sudah terjawab’. Daripada khabar angin kini bertukar menjadi kenyataan apabila bekas jurulatih Kelantan musim 2009, Peter James Butler sah kembali membimbing The Red Warriors untuk saingan Liga Malaysia musim 2012.
Kehadiran semula jurulatih berusia 45 tahun yang berasal dari Halifax, England menamatkan spekulasi yang tersebar luas sebelum ini mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih ekoran pengunduran Datuk M Karathu daripada terus membimbing Kelantan pada musim depan.
Butler yang fasih berbahasa Indonesia mungkin tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana pernah menjadi jurulatih The Red Warriors dua tahun lalu dan berjaya membawa Kelantan muncul naib juara Piala FA selain menduduki tempat keenam dalam Liga Super pada musim tersebut.
Namun, Butler mengejutkan semua pihak apabila mengangkat kaki kira-kira seminggu sebelum sepak mula pertandingan Piala Malaysia dan tindakan beliau ternyata mencetuskan kemarahan penyokong setia Kelantan ketika itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan Butler diharap dapat memberikan suntikan baru terhadap pasukan Kelantan terutamanya apabila bersaing dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac tahun depan.
“Kita tidak mahu membuang masa (setelah tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia) dan perlu membuat persiapan dengan segera. Saya sudah berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan serta mendapatkan pandangan dua bekas jurulatih sebelum ini, B Sathianathan dan Datuk M Karathu dan kita membuat keputusan untuk memanggil kembali beliau.
“Beliau (Butler) sudah masak dengan senario bola sepak di sini. Memang kita menerima senarai beberapa nama jurulatih tempatan dan luar yang boleh dipertimbangkan namun beliau dilihat lebih memenuhi kriteria yang kita mahukan,” katanya. Sementara itu, Annuar juga turut mengumumkan penstrukturan semula pasukan apabila melantik Ketua Jurulatih Piala Presiden musim ini, Zahasmi Ismail sebagai Penolong Jurulatih Liga Super yang baru bergandingan dengan Sideek Samsuddin manakala Mohd Hashim Mustapha akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zahasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar turut memberitahu skuad Kelantan akan memulakan latihan pusat selama sebulan di bawah bimbingan jurulatih baru bermula 1 November ini.
“Semua pemain akan kembali menjalani latihan selama sebulan di Kota Bharu. Kemudian kita akan mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan negeri dan akan ke Singapura serta Indonesia bagi menghadapi beberapa perlawanan lain lagi.
“Selain itu, kita juga akan menguji seorang pemain import dari Belanda iaitu Jean Black bagi memperkuatkan barisan serangan Kelantan untuk musim hadapan. Jean merupakan pemain dari pasukan OSS FC yang beraksi untuk Liga Divisyen Dua Belanda dan merupakan penjaring terbanyak pasukannya dengan 14 gol,” katanya.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

 

Nuffnang

Site

Iklan

 
Blogger Templates