Esok hari haji, raya korban, raya aidiladha, entah apa lagi. Esok, Jam 8.30 pagi jom! kita pakat pergi masjid solat sunat aidil adha dan selepas itu kita pakat-pakat melepah lembu.
Dibawah ini ada sedikit cebisan hikmat ibadat korban dan hukumnya yang aku salin dari portal Ukhwah.com.
Hari Raya Aidildha merupakan salah satu dari hari
kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam. Dalil disyariatkan Aidiladha
adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik .a, dia berkata:
Nabi s.a.w. pernah datang ke Madinah sedangkan
penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main
(bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda:
Maksudnya:
“Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua
hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan
sesungguhnya ALLAH telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu
Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, di dalam
Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Aidiladha juga diberi gelaran sebagai Hari Raya Haji
kerana ianya diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadat
yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima iaitu ibadat Haji. Di samping itu
Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana di antara syiar semasa
merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan
kambing biri-biri dalam rangka beribadat kepada ALLAH S.W.T.. Ibadat korban ini
adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup
menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. kerana taat akan perintah ALLAH
S.W.T... Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak
ini kepada kehendak ALLAH S.W.T. maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih
anaknya itu, ALLAH gantikannya dengan seekor kibas. Peristiwa ini telah dirakamkan
di dalam al-Qur’an sebagaimana firman-NYA:
Maksudnya:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:
"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku
akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab:
"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya ALLAH,
ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar" Setelah keduanya
berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), dan Nabi Ibrahim
merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah,
(KAMI sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan
perintah Kami). Serta KAMI menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah
menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya
KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya
perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan KAMI tebus anaknya itu dengan
seekor binatang sembelihan yang besar; Dan KAMI kekalkan baginya (nama yang
harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. – (Surah al-Saaffaat
(37): 101-108)
Rentetan dari peristiwa ini maka saban tahun ketika
merayakan Hari Raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang
korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik yang
berada di dalam masyarakat seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang
sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.
KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAT KORBAN
Ibadat korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar
bagi mereka yang mengerjakannya. Ini sebagaimana ditekankan oleh ALLAH S.W.T.
melalui firman-NYA:
Maksudnya:
Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir
miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada
menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama
ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka
apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan
berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang
meminta. Demikianlah KAMI mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan
menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau
hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai
kepada-NYA ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah
DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH
kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan
balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik
amalnya. – (Surah al-Hajj (22): 36-37)
Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa
keutamaan ibadat korban seperti berikut:
1 - Ibadat korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan
bermasyrakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang diantara golongan yang
kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan
seumpamanya dan dengan golongan yang bernasib baik yang dianugerahkan oleh
ALLAH S.W.T. dengan kekayaan dan kelapangan hidup melalui pengagihan
daging-daging korban tersebut.
2 - Ibadat korban juga berupaya membentuk insan yang
bersyukur dengan rezeki yang ALLAH kurniakan kepadanya melalui penyembelihan
haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam
rangka beribadat dan mendekatkan diri kepada ALLAH S.W.T..
3 - Ibadat korban juga dapat membentuk jiwa yang ikhlas
kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan hanya demi untuk mendapat
keredhaan ALLAH S.W.T..
4 - Ianya juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada
ALLAH S.W.T. kerana menurut perintahnya.
5 - Ibadat korban merupakan amalan yang mulia dan
sesiapa yang menunaikan ibadat tersebut bakal menerima khabar gembira daripada
ALLAH S.W.T. iaitu balasan serta ganjaran yang baik daripada-NYA.
HUKUM IBADAT KORBAN
Tentang hukum melaksanakan ibadat korban ini maka para
ulamak berbeza pendapat yang dapat kita bahagikan kepada dua iaitu:-
1 - Wajib bagi yang mampu. Ini merupakan pendapat Imam
Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah
satu dari pendapat Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan
(dibenarkan) oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah. Dalil-dalil yang dipakai oleh
mereka yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:-
Maksudnya:
Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata,
dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). – (Surah al-Kauthar (108): 2)
Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadat korban
sebagaimana solat kerana kedua ibadat tersebut dihubungkan dengan huruf? (dan)
yang menunjukkan kesamaan hukum.
Maksudnya:
Daripada Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali, dia
berkata: Nabi s.a.w. solat pada hari Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu
menyembelih (binatang) korbannya dan bersabda:
Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya
Aidiladha), maka sembelihlah yang lain sebagai penggantinya. Dan barangsiapa
yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah Rasulullah s.a.w. untuk mengulangi ibadat
korban jika ianya dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ianya
wajib. Jika tidak wajib pasti baginda tidak akan mengarahkan agar ianya diulang
semula.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Barangsiapa yang
memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati
tempat solat kami. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah,
hadis no: 3114
Hadis ini berupa ancaman bagi mereka memiliki kemampuan
tetapi tidak mengerjakan ibadat korban. Ancaman yang berat ini tidak akan
dilakukan oleh baginda melainkan ianya sebagai bukti akan kewajipannya.
Maksudnya:
Dari Mikhnaf bin Sulaim, dia berkata: Kami bersama
Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah, lalu berkata:
Wahai manusia. Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga
pada setiap tahunnya (mengerjakan ibadat) korban dan ‘atirah. Baginda berkata:
Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah
(kambing yang disembelih pada bulan Rejab). – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di
dalam kitab Sunan Tirmidzi, hadis no: 1438.
Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadat korban dan
‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan.
Walaubagaimanapun hukum untuk ‘atirah telah dimansuhkan namun ianya tidak
mengharuskan pemansuhan ibadat korban dan hukumnya yang wajib masih terus sah
sampai sekarang.
1 - Sunat atau Sunat Mu’akkad bagi yang mampu. Pendapat
ini pula merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulamak dan pendapat Imam
al-Syafi’i .h. Golongan ini pula berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:-
Maksudnya:
Daripada Ummu Salamah, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w.
bersabda: Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang dari
kalian ingin menyembelih (haiwan) korban, maka jangan memotong sedikitpun dari
rambut dan kukunya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis
no: 1977.
Ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa ibadat korban
itu tidak wajib dengan dasar sabda Nabi dan salah seorang dari kalian ingin
yang menggambarkan baginda menyerahkan kepada kehendak seseorang. Seandainya
ibadat korban itu wajib pasti baginda tidak akan menyerahkannya kepada kehendak
seseorang dengan bersabda “maka janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga
selesai menyembelih haiwan korban.”
Maksudnya:
Daripada Jabir, dia berkata. Aku menyaksikan bersama
Nabi s.a.w. solat Aidiladha di musholla (tanah lapang). Ketika selesai
khutbahnya, baginda turun dari mimbarnya, lalu dibawakan seekor kambing dan
Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri dan berkata: “Bismillah wa
Allahu Akbar hadza ‘anni wa ‘amman lam yudhahi min ummati (Dengan nama ALLAH
dan ALLAH Maha Besar, ini dariku dan dari umatku yang belum meyembelih. – Hadis
riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 2427.
Sabda Rasulullah s.a.w ini dariku dan dari umatku yang
belum menyembelih disampaikan secara mutlak tanpa perincian merupakan dalil
tidak wajibnya ibadat korban. Sekiranya ianya wajib tentu bagi mereka yang
meninggalkan ibadat tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda
mewakilkan korbannya itu kepada meereka.
Diriwayatkan daripada Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau
berkata:
Maksudnya:
Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar
tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir
dijadikan panutan. – Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra,
9/295. Syaikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil
hadis no: 1139.
Seandainya ibadat korban itu wajib nescaya kedua Abu
Bakar dan ‘Umar .a akan mendahului umat Islam yang lain dalam melakukan ibadat
korban.
Sebelum penulis membuat rumusan tentang hukum ibadat
korban hendaklah kita fahami bahawa pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan
sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan untuk
mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun
tidak. Namun begitu bagi
mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w., sekiranya
sesuatu amalan itu sabit datangnya daripada baginda maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh
untuk mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ianya wajib atau sunat.
Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:
Seorang Muslim selayaknya mematuhi syariat tanpa
memandang apakah itu fardu atau sunat. Yang terpenting dia melakukan kerana
mematuhi syariat ALLAH S.W.T, kerana mengikuti Nabi-NYA dan mencari pahala.
Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan saat ingin meninggalkannya, apakah
yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau yang sunat. Demikian
kewajipan seorang hamba yang serius beribadat. Adapun dalam kajian ilmiah dan
mengetahui hukum-hukumnya maka perlu mengetahui antara yang fardu dan yang
sunat. – Rujuk kitab Taudhih al-Ahkam min Bulughi al-Maraam, karya Syaikh
‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam (edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul
Maram, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, masa. 217.
Apa pun jua kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah
sabit daripada baginda s.a.w. dan seharusnya kita berlapang dada dalam
permasalahan khilafiyah sebegini.
Syaikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti .h berkata:
Saya telah meneliti dalil-dalil sunnah pendapat yang
mewajibkan dan yang tidak mewajibkan, dan keadaannya pada pandangan kami bahawa
tidak ada satupun dalil dari kedua pendapat tersebut yang tegas, pasti dan
selamat dari bantahan, baik yang menunjukkan wajib mahupun yang tidak wajib…
Yang rajih bagi saya dalam perkara seperti ini yang tidak jelas penunjukkan
nas-nas kepada satu hal tertentu kepada satu hal tertentu dengan tegas dan
jelas adalah berusaha sekuat mungkin keluar dari khilaf dengan berkorban
apabila mampu kerana Nabi bersabda:
“Tinggalkanlah yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya seseorang tidak meninggalkannya bila mampu kerana menunaikannya
sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya. Wallahu’alam. – Rujuk kitab
Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Qur’an bil Qur’an karya Syaikh Muhammad al-Amin
al-Syingqiti, jilid 5 masa. 618.
Namun begitu penulis lebih cenderung dengan pendapat
jumhur (majoriti) ulamak kerana mustahil bagi Abu Bakar dan ‘Umar .a untuk
meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam
yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah
s.a.w. sebagaimana sabdanya yang diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah:
Maksudnya:
Sungguh barangsiapa di antara kalian yang hidup
sesudahku, maka akan mendapati perselisihan yang banyak. Maka wajib baginya
untuk memegang sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin. – Hadis riwayat Imam
Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16521.
Hadis di atas ini diperkuatkan lagi dengan sabda
baginda:
Maksudnya:
Kerana jika mereka mengikuti Abu Bakar dan ‘Umar,
nescaya mereka mendapat petunjuk. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih
Muslim, hadis no: 681
Apa pun jua hendaklah kita mengikuti saranan Syaikh
Muhammad al-Amin al-Syingqiti agar senantiasa mengerjakan ibadat korban ini
apabila memiliki kemampuan bukan sahaja kerana menyahut seruan baginda s.a.w.
agar “Tinggalkanlah yang ragu kepada yang tidak ragu” namun ianya demi
membuktikan kepatuhan kita kepada perintah ALLAH S.W.T. serta kesungguhan kita
untuk menghidupkan sunnah Nabi s.a.w. dengan penuh keikhlasan.
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١;)
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah
itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan
mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). - (Surah
al-Ahzaab (33): 21)
dan aku sertakan sebuah sajak aku
Jutaan
Syukur Kepada-Mu, Ya Allah.
Kelmarin,
Kisah mentari meninggi itu menjadi manis, bagaikan tidak
terucap
senyum syukur lautan Alhamdulillah
Setelah sekian lama
menunggu, bunga-bunga itu terus subur
Sebelumnya dan kelmarin
adalah gelombang-sukar tentang birokrasi
Bagaikan mimpi tapi itulah realiti bila panggilan-Nya
bergema lagi
Semalam,
Kata bonda
“Lautan tidak lagi gelap, matahari tidak lagi jatuh,
bulan tidak lagi bermimpi dan tidak lagi lena”
Ayahanda juga bersuara
“Kamar ini tidak lagi suram, lantai ini telah
dibersihkan seperti mencermin diri sinar abadi, betapa indahnya hidup ini ianya
seperti bercahaya yang memancar-mancar menembusi kaca-kaca”
Damainya atas rahmatMu dan keberkatanMu
Kerana perintahMu Ya Allah
Ibu Bapa ku menerima seruanMu dan panggilanMu
menuntut puncak
Tiada yang lain dalam kalbuku adalah jutaan pujian dan
kesyukuran
Hari ini,
ibu bapaku datang dari perbukitan yang akan kembara ke
kota suci-Mu
Bondongan manusia berputih turut juga meluncur,
berlemas-lemas menuju puncak sinar
Hanya pintaku adalah agar sentiasa dipelihara olehNya
Meneruskan kembara-kembara puncak ini dengan berbahagia
dan sejahtera
Akhirnya,
Pesanku cuma perbanyakan kesabaran, melipatgandakan
keikhlasan, kuatkan fizikal, tebalkan keimanan, tingkatkan kesihatan, seringkan
doa yang qudus dan zikirrullah dan ucap syukur dalam setiap aliran nafasmu
dalam merasai kenikmatan rezeki Allah meskipun kaki ini belum menjejaki ke kota
suci. Moga kali ini adalah haji mabrur
Barakallah
Amin ya Rabbal alamin.
Kelana Jaya
Tiada ulasan :
Catat Ulasan